Islam adalah rahmat kepada semua manusia. Sebab itu Allah menyebutkannya di dalam Al-Quran sebagai rahmatan lil alamin (rahmat kepada sekalian alam), bukan rahmatan lil muslimin (rahmat kepada muslim) semata-mata.
Maka bila ia adalah rahmat kepada semua manusia, sudah tentu ia sesuai untuk semua bangsa, semua kaum, apapun jenis dan warna kulit, apapun jenis bahasa.
Ia tidak ekslusif untuk bangsa-bangsa tertentu saja. Ia bukan untuk bangsa Melayu semata-mata, bukan juga untuk bangsa Arab semata-mata. Namun, kadangkala kita tidak dapat nafikan betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami hal ini lalu menjadikan Islam ekslusif untuk bangsanya sahaja sehingga orang belum Islam dari bangsa yang lain menjadi takut kepada Islam bukan kerana Islam itu sendiri, tetapi kerana sikap muslim yang mengekslusifkannya.
Akhirnya, sikap begini membawa kerugian kepada umat Islam juga, bahkan bukan saja tidak berjaya mencapai misi Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, malah telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat.
Sikap Ini Perlu Diperbaiki
Kita melihat pertembungan atau perselisihan yang seringkali terjadi antara muslim dan bukan muslim itu bukanlah kerana kesalahan pada nas Al-Quran dan hadis, tetapi kerana masalah sikap dan juga silap faham dalam memahami nas Al-Quran dan hadis.
Benar, memang Allah s.w.t. ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia(mu), mereka satu sama lain saling melindungi…” [Al-Maidah : 51]
Juga dalam ayat yang lain yang hampir sama maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai teman-teman setia sehingga kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang, padahal mereka telah ingkar kepada kebenaran.” [Al-Mumtahanah : 1]
Juga dalam ayat lain :
“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar.” [Luqman : 13]
Semua ayat Al-Quran ini adalah benar dan tidak ada masalah, yang bermasalahnya adalah pada cara faham kita.
Saya tidak akan sentuh secara lanjut berkaitan dengan perbahasan dari pemahaman kepada ayat-ayat ini. Cumanya, secara ringkas, ayat-ayat Al-Quran ini sebenarnya tidak membenarkan kita bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan akidah dan urusan kita yang khusus berkaitan dengan Islam. Ayat-ayat ini pun masing-masing mempunyai sebab penurunannya dan ia tidak boleh dibaca secara tunggal berasingan begitu sahaja daripada nas-nas yang lain.
Allah Tidak Melarang Kita Berbuat Baik Kepada Mereka
Sifirnya mudah saja.
Kalau benar Islam ini adalah rahmat kepada semua manusia, bagaimana mungkin ia boleh menganjurkan sikap kekerasan dalam membawa Islam sehingga menyebabkan orang yang belum Islam semakin jauh dan tawar hati dengan Islam?
Maka, sudah tentulah tidak logik. Allah mendatangkan Islam ini sebagai rahmat untuk semua manusia, maka bagaimana mungkin dalam usaha kita untuk menyampaikan Islam ini kepada mereka, kita bersikap keras dan menolak segala tindakan mereka pula?
Sebab itu, Allah berfirman dalam surah Al-Mumtahanah yang bermaksud :
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [Al-Mumtahanah : 8]
Dalam ayat ini, Allah mengajar kita bahawa selama mana mereka itu tidak memerangi kita dalam urusan beragama dan tidak pula bersikap zalim dalam urusan dunia kita, maka tidak ada masalah untuk kita berbuat baik dan berlaku adil pula dengan mereka.
Selama mana mereka bersikap baik, mengikut undang-undang dan lunas-lunas yang telah ditetapkan di dalam negara kita, maka tidak ada masalah untuk kita berlaku baik dan bermesra dengan mereka meskipun akidah mereka itu tidak betul.
Kita perlu membezakan antara menerima keberadaan mereka di dalam masyarakat dengan redha terhadap akidah mereka. Kita tidak redha kepada akidah mereka, tetapi itu tidak menghalang kita untuk menerima keberadaan mereka dan berlaku baik dengan mereka.
Bagaimana Interaksi Nabi Dengan Bukan Muslim?
Banyak sekali sirah yang menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sangat meraikan dan berlaku baik kepada orang-orang bukan Islam.
Bahkan dalam satu hadis, Nabi s.a.w. bersabda :
“Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi muahid (non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada hari kiamat.” [HR Abu Daud]
Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga dalam bukunya, Al-Watan Wal Muwatanah (Negara Dan Warganegara) ada menukilkan sedikit penerangan berkaitan dengan salah satu petikan dalam Perlembagaan Madinah yang telah dipersetujui bersama antara orang-orang Islam dan bukan Islam di Madinah. Petikan perlembagaan 25 daripada Perlembagaan Madinah itu adalah seperti berikut :
“Sesungguhnya Yahudi Bani Auf adalah ummah bersama orang-orang beriman, bagi Yahudi agama mereka, bagi muslimin, agama mereka…”
Dr Yusuf Al-Qaradawi telah memberikan sedikit huraian berkaitan dengan petikan perlembagaan ini. Katanya :
“Antara yang penting untuk diberikan perhatian adalah nas (petikan perlembagaan) ini tidak menyebut Yahudi adalah ummat ‘dari’ orang-orang beriman, tetapi ummat ‘bersama’ orang-orang beriman.”
Perkhususan penggunaan perkataan ‘bersama’ itu menunjukkan bahawa dalam hal siasah (politik), Nabi meletakkan hak yang sama kepada semua. Tidak ada hak siapa yang lebih daripada siapa. Semuanya memiliki hak yang setara dan sama dalam hak kerakyatan dan kewarganegaraan. Maka, bila kita memiliki hak krakyatan yang sama, apa yang membuatkan kita merasa lebih mulia daripada mereka sehingga membolehkan kita untuk berlaku kasar dan mencaci maki mereka?
Begitu juga, contoh yang sangat jelas kepada kita ketika Rasul s.a.w. memilih seorang bukan Islam iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk membantu perjalanan hijrah baginda ke Madinah. Abdullah bin Uraiqith bukanlah seorang Islam, tetapi kenapa baginda memilihnya sebagai salah seorang pembantu dalam sebuah urusan besar yang melibatkan masa depan Islam?
Maka, tidak ada lain sebabnya kerana melihat kejujuran dan sikap profesional yang ada pada Abdullah bin Uraiqith menyebabkan dia dipilih untuk membantu menjayakan hijrah Nabi ke Madinah.
Begitulah cara Nabi berinteraksi dengan bukan Muslim. Baginda memberikan hak kepada mereka yang berhak meskipun orang itu bukan Muslim, baginda tidak mementingkan hak muslim semata-mata.
Penutup : Membaiki Extremism Dan Kejumudan Dalam Memahami Agama
Inilah sikap yang perlu kita perbaiki dalam diri kita.
Berapa ramai saya kira orang-orang Islam di Malaysia bila melihat orang-orang dari agama lain terutama dari bangsa selain Melayu, mereka berasa geli dan hina mahu duduk bersama dan bermesra. Akhirnya, hubungan antara agama tidak dapat diharmonikan dan kita pun tidak dapat menyampaikan Islam melalui contoh yang baik.
Dari jauh kita menuduh mereka cuba untuk merosakkan agama kita, tetapi dari dekat kita pula malas bergaul dan tidak baik pula hubungan dengan mereka. Yang lebih buruk adalah menimbulkan perpecahan menggunakan nama agama dan bangsa.
Kita perlu membaiki extremism dalam beragama ini. Islam sentiasa mengajar kita untuk menjadi sederhana dan belajar bergaul dengan semua orang meskipun berbeza agama dan bangsanya. Ia tidak mendidik kita untuk menjadi ummat yang ekslusif dalam bulatan kita semata-mata sambil kita seronok melontar batu kepada orang di luar tanpa meluaskan bulatan itu.
Ramai orang yang bercakap tentang ancaman Kristianisasi, ancaman Freemason dan sebagainya, tetapi tanyalah pada diri kita, kita sebagai muslim apakah yang telah kita lakukan untuk menyebarluaskan Islam ini?
Dengan bersifat keras kepada orang bukan Islam?
Dengan menyerang usaha-usaha mereka?
Dengan menyerang usaha-usaha mereka?
Tanyalah diri kita dengan jujur.
Islam tidak jumud sehingga kita salah berinteraksi dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang melarang kita mengambil mereka sebagai auliya’. Ayat itu benar, tetapi kita perlu melihat maqasid (tujuan) kepada ayat itu pula. Al-Quran memang tidak membenarkan kita bersekongkol dan bersekedudukan dengan mereka dalam hal akidah, tetapi untuk merawat masalah akidah mereka itulah, kita perlu melalui jalan muamalat.
Kalau muamalat dengan mereka pun tidak bagus, bagaimana mungkin kita dapat membuatkan hati mereka tertarik untuk menerima Islam?
Untuk membina sebuah masyarakat yang lebih baik, kita perlu merawat extremism dan kejumudan dalam memahami Islam ini.
Perbaiki cara berinteraksi kita dengan semua lapisan masyarakat biar dari agama mahu bangsa apapun kerana akhirnya kita bukan ingin memenangkan Islam atas kebencian orang ramai, tetapi kita ingin memenangkan Islam ini dengan tunduknya hati orang ramai terhadap kejujuran dan pembawaan kita yang baik.
Posted by: Afdholul RahmanSumber : http://langitilahi.com/11895
No comments:
Post a Comment