Tuhan yang
beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.
Duit dalam
genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum
tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.
Andai
ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang
kosong. Tanpa wang, tanpa harta.
Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.
Allah swt
berfirman;
"Dan
ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah
pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]
"Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada
musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari
harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji,
bersabarlah wahai hati.
Musibah
datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah
bagi mereka yang celik hati dan akalnya.
Bila diuji,
bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian
dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri,
memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..
Atau
bagaimana?
Jarang
sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga,
ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat
kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa
kepada Dia.
Moga kita
dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.
Kerana Dia
kasihkan kita. Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang.
Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.
Kerana
semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana
firman-Nya;
"Sesungguhnya
Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan
menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah)
adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah
Al-Israk:30]
Wang dan
harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu
menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita.
Contohnya
tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi
sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau
terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu
keluar dari poket kita.
Allah swt
berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;
"Adakah
manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami
telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?"
Maka, bila
Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah,
periksa dan koreksi diri sendiri.
Peringatan
buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang
tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah
mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.
Diriwayatkan
dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
"Apabila
Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman
baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang
hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di
hari Kiamat." - [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah
cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?
Atau mungkin
kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?
Atau mungkin
juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan
perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.
Suatu
peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan
perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.
Atau mungkin
Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima
ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.
Bukankah
Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati
yang tenang dan redha?
Firman
Allah;
"Tidak
ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan
barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada
hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].
Bersabarlah
wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman
kepada-Nya.
Allah
berfirman lagi;
"Jadikanlah
sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh
berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]
"Wahai
orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan
solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]
Wahai hati,
bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan
dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai
penolong.
Bersabarlah
wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah,
hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah
"Innalillahiwainnailaihirajiun". Sesungguhnya dari Allah kita datang,
dan kepada-Nya juga kita kembali.
Muhasabah
buat diri ini. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang sabar dan
khusyuk.
- Artikel
iluvislam.com
No comments:
Post a Comment