Setiap Muslim yang beriman akan sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tingkah laku tidak kira masa atau di mana mereka berada, termasuk ketika bersosial secara maya di laman sosial yang kini menjadi kegilaan masyarakat sejagat kerana kemampuan berinteraksi yang tidak terbatas.
Keadaan dunia tanpa sempadan ini ada kala menyebabkan masyarakat leka dan menolak ajaran agama yang menekankan akhlak mulia dalam perhubungan sesama manusia. Ledakan laman sosial menyumbang banyak peristiwa positif mahupun negatif.
Setiap perkara baik tidak menjadi masalah, perkara negatif ditimbulkan mewujudkan pelbagai permasalahan akhirnya merosakkan diri sendiri. Justeru, pengawalan akhlak yang sempurna tidak kira di mana saja berada perlu diambil kira.
Sedar atau tidak, penyalahgunaan laman sosial contohnya di facebook dan twitter boleh mengundang perkara negatif seperti pertelingkahan dan pergaduhan kerana sesetengah pengguna tidak berakhlak tanpa rasa bersalah sanggup menjatuhkan air muka orang lain, memfitnah, memuatkan pernyataan berbentuk hasutan atau provokasi.
Memang tidak dinafikan ada sesetengah pengguna tidak memandang serius perkara ini. Walaupun ia nampak ringan dan dianggap 'gurauan', tetapi ia mampu memberi impak lebih besar selain mengundang kemurkaan Allah SWT.
Beretika dan tidak melebihkan emosi ketika melayari laman sosial mampu mengelak perkara tidak baik. Teknologi canggih ini sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk tujuan murni seperti berdakwah, menyebarkan maklumat serta mengeratkan silaturahim.
Nafsu tidak dapat dikawal ketika perasaan marah dan tertekan. Bertenang dan berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu perkara dapat mengawal keadaan. Perasaan menyesal biasanya akan hadir selepas perasaan marah reda.
Pepatah Melayu, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.' Oleh itu, hormati hak dan peribadi orang lain. Rahsia yang diamanahkan jangan dijadikan isu untuk menarik perhatian kerana ia boleh mencetuskan kekecewaan serta memutuskan ikatan silaturahim.
Laman sosial boleh menjadi medium dakwah yang luas apabila digunakan secara tertib dan betul. Untuk berdakwah, peribadi dan akhlak ditunjukkan pemilik akaun akan dihitung terlebih dulu. Justeru, pemilik akaun perlu mengindahkan penulisan untuk menarik minat rakan maya ke arah kebaikan.
Walaupun hanya sepotong hadis ia mampu disampaikan dan dilihat ramai pelayar di laman sosial berbanding kuliah atau ceramah di dewan walaupun menempatkan beratus orang.
Penyebaran dakwah secara cacian dan kutukan untuk menunjukkan kepandaian atau kealiman dalam sesuatu perkara boleh menjauhkan sesama sendiri. Bukankah agama Islam lebih menginginkan keharmonian dan kedamaian dalam menyebarkan Islam?
Sebarang maklumat yang disebarkan perlu diketahui hukum dan sumbernya yang sahih. Jika hadis atau petikan dari kitab, perlu yang bersanad, asli dan sahih sumbernya. Ini untuk mengelak kekeliruan orang awam jika membuat penafsiran sendiri.
Mudah percaya dan mendedahkan rahsia diri kepada rakan maya, terutama yang tidak dikenali boleh mengundang padah dan bahaya. Menyerahkan maklumat diri seperti gambar, alamat tempat tinggal, pekerjaan akan mengundang mudarat.
Banyak kes sumbang terjadi berpunca daripada penyalahgunaan maklumat maka berhati-hatilah dan pandai-pandailah membawa diri di alam maya.
Kesimpulannya, semua bergantung kepada kesedaran diri sama ada ingin melayari laman sosial dengan akhlak baik atau mengikut nafsu dan emosi semata-mata. Ingatlah Allah Maha Tahu apa yang diperbuat hamba-Nya.
No comments:
Post a Comment